UMNO dan PAS bersatu? Mari kita selami Sejarah PAS UMNO dahulu.

/
0 Comments
UMNO dan PAS bersatu? Mari kita selami Sejarah PAS UMNO dahulu.

--------------------------------------------------

UMNO baru-baru ini ada menyebut, kita mesti membuat sesuatu bagi menyelamatkan umat Islam. Sebelum ini, PAS bersetuju dan PAS sudah sebut perkara ini sudah berapa lama. PAS juga mahu melakukan sesuatu bagi menyelamatkan umat Islam dan Melayu.

UMNO kata, cara hendak menyelamatkan umat Islam adalah mesti 'disatukan UMNO bersama PAS'. Ini penyelesaiannya, mengikut cara UMNO.

Dan, jika kita nilai dan diambil dari sudut-sudut terdahulu, idea penyelesaian dalam penyatuan UMNO bersama PAS ini sentiasa hadir, terutamanya apabila UMNO berada dalam keadaan TERSEMPIT!

Kerana apa? Kita boleh nilai.

Apabila UMNO berada dalam keadaan senang, mereka menindas kerajaan PAS, mereka menindas orang Melayu, dan mereka menindas umat Islam.

Bagaimana umat Islam mahupun orang Melayu, tidak terasa hati dengan apa yang mereka hadapi?

------------------------------------------------------

Wahai sahabat sekalian, terdapat beberapa perkara yang ingin saya beritahu.

Apabila PAS hendak disatukan dengan UMNO, UMNO sering menuding jari kepada PAS, kononnya PAS tidak mahu bersatu. Hatta sekalipun begitu, apa yang saya ingin sampaikan di sini bahawa, perkara sebenar yang menyebabkan Melayu berpecah sebenarnya, 'Juara'nya adalah UMNO sendiri.

Dan juga cuba kita lihat kembali kepada sejarah, bahawa setiap 10 tahun sekali, UMNO akan menyebabkan perpecahan Melayu. Dan ia berlaku dari sebelum dari zaman kemerdekaan lagi.

Sebelum ini, umat Islam bersatu. Orang Melayu bersatu dalam menentang penjajahan. Parti Kebangsaan Melayu Malaya bersatu bersama Hizbul Muslimin juga turut bersatu dengan UMNO bagi tujuan kemerdekaan. Tetapi UMNO dengan secara tiba-tiba menjadi tali barut kepada British lalu mengkhianati perjuangan Islam, mengkhianati perjuangan Melayu, mengkhianati perjuangan umat Islam dalam Hisbul Muslimin dan mengkhianati perjuangan Melayu dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya, sehingga pemimpin-pemimpin tertangkap.

Dr Baharuddin al-Helmy ditangkap. Ustaz Abu Bakar al-Baqir juga ditangkap. Tengok-tengok UMNO yang layak menjadi Perdana Menteri. Ini adalah pengkhianatan PERTAMA oleh UMNO kepada orang Melayu dan juga kepada Umat Islam sebelum kemerdekaan.

--------------------------------------------------------

Manakala bagi selepas kemerdekaan, apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, apabila UMNO berasakan bahawa kuasa mereka terjejas, dengan sebab mereka kalah di Kuala Lumpur dan beberapa buah tempat lain, maka mereka mengajak PAS untuk bersatu atas dasar Kesatuan Umat Islam, kononnya ada ancaman daripada orang bukan Islam.

Lalu, PAS, mengambil sikap menghulur tangan untuk MENERIMA atas dasar Perpaduan Islam. PAS terima. Walaupun PAS pernah dikhianati. Tetapi selepas daripada itu, apabila mereka kuat, mereka 'TENDANG' semula PAS keluar.

Kemudian, pada tahun 1987, UMNO menyebabkan perpecahan orang Melayu sehingga lahirnya Semangat 46.

10 tahun kemudian, Pada tahun 1998, sekali lagi Melayu berpecah disebabkan oleh UMNO.

Dua-dua peristiwa di atas, PAS menerima dan membuka tangan, untuk berpakat dengan Semangat 46, Britain Group daripada UMNO atas dasar Perpaduan Ummah.

Kemudian UMNO berpecah lagi, lalu PAS sekali lagi membuka tangan menerima, bersama membuat satu Barisan Alternatif, bersama orang UMNO yang keluar daripada UMNO.

Kemudian, berlakulah 'kononnya' satu Penyatuan Melayu apabila Semangat 46 yang dipimpin oleh Tenku Razali Hamzah kembali kepada UMNO atas jemputan Dr. Mahathir Mohamad atas dasar Semangat Penyatuan Melayu dan Islam. Malangnya, rupa-rupanya Dr. Mahathir Mohamad mengajak Tengku Razali Hamzah untuk masuk UMNO hanya kerana hendak menendang Anuwar Ibrahim keluar. Bukan atas dasar semangat hendak menyatukan orang Melayu, tetapi memecah-belahkan lagi orang Melayu.

Akhir sekali, sekali lagi mereka mengajak PAS, maka Alhamdulillah, asbab kerana PAS sudah mempunyai pengalaman dengan UMNO, segala baik buruk UMNO, PAS sudah bersedia dan tahu, namun PAS tetap mengambil berat untuk menyatu-padukan orang Melayu, menyatu-padukan umat Islam.

Sebagaimana yang disebutkan tadi, apabila Abdullah Ahmad Badawi jemput PAS untuk bersatu dalam satu gagasan, PAS menerima tetapi mesti dibuat secara berhati-hati. Kerana ditakuti nanti ahli-ahli PAS tidak faham, nanti ahli-ahli parti Pakatan Rakyat tidak faham, takut-takut nanti PAS juga yang menanggung akibat, takut-takut nanti PAS juga yang akan difitnah. Maka dibuat perjumpaan, berbincang perkara ini secara senyap-senyap.

Namun, secara tiba-tiba Abdullah Ahmad Badawi khianat PAS, dengan menyatakan PAS sudah tiga kali berurusan dengan UMNO dibelakang tadbir untuk bergabung, akibat daripada itu, PAS terpaksa berhadapan dengan ahli-ahli PAS sendiri serta parti-parti dari Pakatan Rakyat atas salah faham yang dilakukan terhadap PAS oleh UMNO.

Maka atas perkara ini, PAS mengambil keputusan untuk tidak bersatu bersama UMNO pada ketika itu.

--------------------------------

Oleh itu, mari kita kembali kepada realiti kita pada hari ini, apakah PAS bersedia kembali untuk bergabung bersatu dan bersama UMNO semula atas perkara yang pernah dilakukan oleh UMNO suatu ketika dahulu? Apa-apa pun, segala keputusan hanya akan dibuat dan dinilai oleh ahli-ahli tertinggi PAS dalam perkara ini.

Saya? Sekadar berbicara soal sejarah.
Jawapan saya kepada persoalan ini, saya gembira jika penyatuan itu berlaku. Dengan mengambil kira bukan sahaja dari PAS, tetapi dari setiap parti yang ada di dalam Pakatan Rakyat, iaitu PKR serta DAP. Kerana perlu sedar, masyarakat Malaysia adalah majmuk. Dan kemajmukan dan keperpaduan inilah yang menyebabkan kemerdekaan negara tercapai. Bukan hanya dari satu kaum. Namun, prasyarat perlu ada dan diterima oleh UMNO sebagaimana apa yang dimahukan oleh PAS iaitu mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dalam memerintah.

Oleh itu, dengan ini, alangkah indahnya perjalanan sebuah negara dan kehidupan rakyatnya sewaktu ia dipayungi sebuah sistem politik yang adil, budaya politik yang sihat dan bersih. Rakyat boleh mengangkat pemimpin yang terbaik dari kalangan mereka.

Setiap pemimpin boleh datang dan pergi menerusi proses pilihan rakyat yang telus, bersih, dan aman, tanpa perlu menggunakan kekerasan atau paksaan, tanpa menabur fitnah siang dan malam, sama ada oleh rakyat atau pemerintah.

Serta alangkah baiknya jikalau sistem politik yang diguna pakai akan membolehkan rakyat mengangkat peribadi-peribadi terbaik untuk menerajui kepimpinan negara, dan melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dalam pemilihan para pemimpin.

Sekian dari saya.
Anak muda yang dahagakan tertegaknya negara berpaksikan Islam sebagai panduan.

-----
copy paste:
Lain-lain sumber boleh dirujuk dari: Wacana Perdana PRU13


You may also like

No comments:

Thanks for reading :)